Monday, June 25, 2012

Nikmat Khusyuk Solat Tanda Amalan Ibadat Lain Diterima III


       Walaupun tidak dapat bertemu Allah SWT seperti dialami Nabi Muhammad SAW berdasarkan gagasan Isra’ Mikraj, kita dapat berhadapan dengan Allah SWT dalam solat dengan syarat, hati kita sepenuhnya mengingati Allah dengan menghindari penyakit syahwat atau bisikan duniawi.

    Kedua, hati kita sentiasa mengagungkan Allah SWT dan merasa Allah sentiasa melihat diri kita dan ketiga, hati kita sentiasa meresapi makna ayat al-Quran yang di baca dalam solat.

     Menurut Imam Ghazali, antara amalan membentuk solat yang khusyuk ialah memastikan sumber rezeki adalah halal, mendirikan solat seolah-olah akan menghadapi kematian pada esok hari, mendirikan solat pada awal waktu.

       Memahami pengertian bacaan dalam solat, mengambil wuduk dengan sempurna dan pakaian bersih, memiliki sifat malu kepada Allah SWT jika pelaksanaan solat itu tidak sempurna.

        Akhlak yang kurang baik dan keruntuhan moral dideritai segolongan umat Islam kini berpunca daripada solatnya tidak khusyuk menyebabkan mereka masih melakukan perbuatan keji dan maksiat. Mereka ini melakukan solat tetapi masih juga melakukan perbuatan berdosa.

      Gagasan dan kebenaran dalam Isra’ Mikraj ini hendaklah kita teladani, pelajari serta dihayati sebaik mungkin, untuk mengelakkan diri daripada melakukan pelbagai kejahatan, kemungkaran serta terjerumus gaya hidup berdosa.

    Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya orang munafik itu melakukan tipu daya terhadap Allah, dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka. Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. Mereka riak kepada manusia, dan mereka pula tidak mengingati Allah melainkan sedikit sekali.” (Surah an-Nisaa’, ayat 142)



epondok, Jun 22, 2012

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...